Friday, June 25, 2010

Patani Diserang Oleh Kerajaan Chakri

Selepas Phya Taksin berjaya mengalahkan Burma di Ayuthia dalam tahun1776, Siam telah menumpukan pula perhatiannya ke atas negeri-negeri diselatan semenanjung yang telah mengisytiharkan diri semasa perang Burma-Siam dahulu. Negeri-negeri di Selatan Semenanjung iaitu Ligor, Songkhla dan Pattalung telah diserang oleh Siam. Keadaan ini menyebabkan raja negeri-negeri tersebut terpaksa mencari perlindungan di Patani. Oleh kerana pemerintahnya, terpaksa tunduk kepada desakanSiam supaya raja-raja tersebut diserah kepadanya. Pada tahun 1779, Sultan Muhammad pula telah dipaksa memberi bantuan kepada Siamuntuk menentang Burma. Apabila Sultan Muhammad enggan membuat demikian, Phraya Chakri telah memerintah adiknya, Putera Surasi, dengan dibantu oleh Phraya Senaphutan, Gabenor Pattalung, Palatcana dan Songkhla supaya menyerang Patani pada tahun 1785 (Gresick 1976, 127; Thadeus & Chadin Flood 1978, 15 dan Wenks 1968,101). Walaupun kerajaan Melayu Patani cuba mempertahankan diri tetapi Siam telah berjaya menguasai Patani pada tahun berikutnya.

Sultan Muhammad pula telah syahid dalam pertempuran dengan pihakSiam (Light 1786)1. Akibat kekalahan itu, seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan dibawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan. Berikutan kejatuhan Patani itu, Tengku Lamidin, Raja Bendang Badan,telah dilantik oleh Siam sebagai Raja Patani yang baru. Tengku Lamidin bagaimanapun tidak lama berkuasa. Dalam tahun 1791, Tengku Lamidin telah bersatu dengan Raja Annam yang beragama Islam, Okphaya Cho So, dan memberontak serta menyerang kedudukan tentera Siam di Tiba, Chanak, Songkhla dan Saiburi.Dalam kebangkitan itu, Tengku Lamidin telah dibantu oleh Sheikh Abdul Kamal, seorang ulama berasal dari Mekah, tetapi gagal (Teeuw & Wyatt 1970, 23).Kemudian pihak Siam, atas cadangan Ligor, telah melantik Datuk Pengkalan sebagai Raja Patani. Pada tahun 1808 Datuk Pengkalan juga bangkit menentangSiam. Walau bagaimanapun, pemberontakan itu juga telah dapat dipatahkan oleh Siam setelah mendapat bantuan kerajaan pusat diBangkok Kerajaan Melayu Patani telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri atau hua muang untuk melemahkan orang Melayu Patani.

Di tiap-tiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan Songkhla. Dengan perubahan ini, maka berakhirlah keagungan Kerajaan Melayu Patani. Kini Kerajaan Melayu Patani hanyalah salah sebuah dari negeri yang baru dibentuk. Tujuh buah negeri tersebut dan raja-raja pemerintahnya adalah seperti berikut (Bonney, R 1971, 79).:


Patani Tuan Sulung
Teluban Nik Dir
Nongchik Tuan Nik
Jalor Tuan Yalor
Jambu Nai Pai
Rangae Nik Dah
Reman Tuan Mansur

Dengan memecahkan kerajaan Melayu Patani, kerajaan Siam percayamereka dapat melemahkan orang Melayu Patani daripada bangkit menentang. Sejajar dengan itu arahan raja telah dikeluarkan kepada raja-raja negeri Melayu bahawa hukuman mati ataupun penjara akan dikenakan terhadap mana-mana raja, termasuk keluarga mereka, sekiranya mereka memberontak atau menderhaka. Untuk mengukuhkan lagi penguasaannya ke atas negeri-negeri Melayu, kerajaan Siam telah melantik Raja Jambu, Nai Rai, seorang berketurunan Siam, sebagai wakil kerajaan pusat bagi mengawasi raja-raja di negeri lain. Sementara itu, kerajaan Siam juga memindahkan orang-orang Siam ke negeri-negeri tersebut dengan tujuan mengimbangkan penduduk yang berketurunan Melayu.

Pada tahun 1821, Siam menyerang pula Kedah dan memaksa Sultan Abdullah melarikan diri ke Pulang Pinang (Rahmat Saripan 1979, 83). Kekuasaan Siam ke atas negeri-negeri Melayu tersebut telah diakui oleh British seperti mana terbukti dengan termeterainya Perjanjian Burney dalam tahun 1826.

Dari tahun 1817 hingga tahun 1842, Patani telah diperintah oleh sekurang-kurangnya dua orang Raja Melayu. Orang yang pertama memegang jawatan itu ialah Tuan Sulong, anak Raja Bendahara Kelantan, Long Jenal. Baginda telah memegang jawatan itu sehingga tahun 1832 apabila baginda disingkirkan kerana terlibat dalam kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1831. Berikutan penyingkiran itu, pihak Siam melantik pula Nik Yusof, yang berasal dari Grisek, sebagai Raja Patani. Semasa berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Nik Yusof tidak terlibat. Dalam tahun 1842, Nik Yusof dilantik menjadi Raja Jering berikutan kematian Nai Him Sai. Bagi mengisi kekosongan itu, Siam melantik Tuan Besar Tun Ahmad, Raja kampong Laut dan bekas Perdana Menteri Kelantan sebagai Raja Patani. Sejak itu sehingga 1902, Patani telah diperintah oleh Tuan Besar dan keturunannya.

Kerajaan Melayu Patani

Sejarah awal Kerajaan Melayu Patani masih lagi diselimuti kekaburan. Dalam catatan sejarah tidak dapat dipastikan asal-usul atau tarikh sebenar kerajaan Melayu Patani didirikan. Mengikut catatan pelawat-pelawat China yang membuat perhubungan dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad kedua Masehi sebuah negeri bernama "Lang-ya-shiu" atau Langkasuka (Paul Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu.

Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Adalah dipercayai bahawa ibu negerinya pada masa itu terletak di sekitar daerah Yarang. Patani adalah sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun ke-8 Masehi kerana Teluk Langkasuka (Teluk Patani sekarang) sangat sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh dan berlindung daripada ribut tengkujuh.

Paul Wheatly menjelaskan bahawa kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu Langkasuka wujud sehingga menjelang abad ketiga belas dan diganti oleh Kerajaan Melayu Patani.

Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya. A.Teeuw dan Wyatt berpendapat bahawa Patani telah ditubuhkan sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15. Pendapat mereka berasaskan kepada tulisan Tomes Pires dan lawatan Laksamana Cheng Ho ke rantau ini dalam tahun 1404-1433 T.M. (Teeuw & Wyatt 1970,3). Mengikut Hikayat Patani pula, Kerajaan Melayu Patani berasal dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai yang diperintah oleh Phya Tu Kerab Mahayana (Teeuw & Wyatt 1970,68).

Oleh kerana kedudukan Kota Mahligai itu terlalu jauh ke pedalaman dan sukar untuk didatangi oleh pedagang-pedagang telah menyebabkan Phya Tu Antara, anak Phya Tu Kerab Mahayana, memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang kemudiannya diberi nama "Patani", dipercayai berpusat di Kampong Grisek dalam wilayah Patani sekarang ini.

Kedudukan Patani di Semenanjung Siam yang strategik dari segi geografi, telah menyebabkan kota itu menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing baik dari barat atau timur untuk singgah sama ada untuk beristirahat ataupun berdagang. Dalam masa yang singkat saja Patani telah muncul sebagai sebuah kerajaan yang penting, maju dari segi ekonomi serta stabil dari segi politik dan pemerintahan. Dasar perhubungan antarabangsanya yang baik telah menyelamatkan Patani daripada jatuh kepada penjajah-penjajah Siam, Portugis dan Belanda.

Agama Islam juga telah membawa angin perubahan yang bermakna kepada Patani. D’ Eredia, seorang pelawat Portugis, telah menulis dalam tahun 1613 bahawa Islam telah bertapak di Patani lebih awal daripada Melaka (Mills 1930). Dalam hal ini, Teeuw dan Wyatt berkeyakinan bahawa Islam telah bertapak di Kuala Berang, Terengganu, iaitu pada sekitar 1386 - 87 T.M. (Teeuw & Wyatt 1970, 4). Phya Tu Antara, yang memeluk Islam melalui seorang ulama dari Pasai, Syeikh Said, telah menukar namanya kepada nama Islam iaitu Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam (Teeuw & Wyatt 1970, 68-69). Semenjak itu, Patani telah menjadi tumpuan saudagar-saudagar Islam dan menjadikannya sebagai pusat perdagangan Timur-Barat yang terkenal di rantau ini. Patani bertambah maju apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.